Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Alishahrin Haji Mumin
TUTONG, Sabtu, 2 Mei. - Sebuah keluarga 'sakinah' tidak terbina secara kebetulan, akan tetapi ia melalui dua asas utama iaitu kasih sayang dan tanggungjawab.
Kasih sayang adalah asas pembinaan keluarga, sebagaimana ditunjukkan oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang menjadi contoh terbaik dalam melayani keluarga dengan penuh kelembutan dan kebaikan. Kasih tersebut perlu dizahirkan melalui komunikasi yang baik, meluangkan masa bersama serta menunjukkan perhatian secara nyata.
Demikian antara pengisian tazkirah keluarga yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Awang Muhammad Safwan bin Mohd. Suffian pada Majlis Kesyukuran sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) 2026 bertempat di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, hari ini.
Tazkirah bertajuk 'Keluarga Sakinah : Dibina Dengan Kasih, Dipelihara Dengan Tanggungjawab' itu, Awang Muhammad Safwan menjelaskan bahawa pada hakikatnya, banyak keluarga runtuh bukan kerana tiada cinta tetapi kerana cinta tidak diungkapkan dan dizahirkan.
Awang Muhammad Safwan selanjutnya menegaskan bahawa kasih sahaja tidak mencukupi tanpa dipelihara dengan tanggungjawab. Berdasarkan peringatan Allah dalam Surah At-Tahrim yang antara lain menerangkan bahawa setiap individu bertanggungjawab menjaga diri dan keluarga daripada kebinasaan.
“Konsep kepimpinan dalam keluarga dijelaskan melalui hadis bahawa setiap orang adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan atas amanahnya.
“Adapun tanggungjawab berkenaan merangkumi tiga aspek utama iaitu agama yang menerangkan bahawa mendidik keluarga dengan sembahyang, Al-Quran dan iman, manakala aspek nafkah dan keperluan pula ialah memenuhi keperluan zahir dengan niat ibadah. Sementara aspek akhlak ialah membentuk suasana rumah yang penuh kelembutan dan teladan yang baik," tambahnya lagi.
Penyampaian ceramah itu turut mengingatkan bahawa kejayaan sebenar bukan hanya di luar rumah tetapi bagaimana seseorang itu membina dan memimpin keluarganya di dalam rumah.
Awang Muhammad Safwan juga menyatakan pandangan Imam Al-Ghazali yang menekankan bahawa anak-anak adalah amanah berharga dan jika dididik dengan kebaikan, mereka akan membesar dalam kebahagiaan dunia dan akhirat.
Sebelum mengakhiri tazkirah, kesimpulannya adalah keluarga 'sakinah' lahir apabila kasih sayang dizahirkan dan terus terpelihara apabila setiap ahli keluarga menunaikan tanggungjawab dengan penuh kesedaran dan keimanan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Imam Tingkat II, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Sahibol Omar bin Haji Yusof.
Majlis diteruskan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah dan diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dan Doa Hari Keluarga yang dibacakan oleh Awang Sahibol Omar.
HKK disambut pada setiap Ahad pertama bulan Mei setiap tahun. Bagi tahun 2026, sambutan ini jatuh pada Ahad, 3 Mei 2026, dengan tema 'Keluargaku, Harapanku'.
Bersempena Sambutan HKK, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah mengadakan Majlis Kesyukuran di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong yang dihadiri lebih daripada 250 orang.
Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial@Tekpin bin Ya'akub, Penghulu Mukim Ukong; Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HKK, Ahli-ahli Jawatankuasa Khas Institusi Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak, pegawai-pegawai kerajaan, penghulu dan ketua-ketua kampung, penduduk kampung, persatuan-persatuan dan rakan-rakan strategik.